/* */

Niat Puasa dan Doa Berbuka Puasa

Artikel ini akan menerangkan beberapa perkara asas dan ulangkaji ringkas tentang puasa. Selain itu juga terdapat penerangan tentang niat puasa dan doa buka puasa.

Pada tahun ini, umat Islam di Malaysia di jangka berpuasa pada 23 Mac 2023 iaitu pada hari Khamis.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama membuat ulangkaji ringkas tentang puasa. Ini bagi memastikan puasa kita sempurna dan diterima Allah.



Niat Puasa

Cara berniat puasa di bulan Ramadhan boleh dilakukan melalui dua kaedah iaitu:

  1. Niat puasa harian
  2. Niat puasa untuk sebulan

Nawaitu sauma qadin ‘an ada’i fardi ramadahana hazihis sanati lillahi ta’aala

Untuk niat puasa sebulan, perlu dibaca pada malam pertama sebelum bermulanya puasa. Ia hanya perlu dibaca sekali sahaja dikhuatiri terlupa untuk niat harian.

Niatnya adalah sebagaimana berikut:

Nawaitu sauma syahri ramadhana kullihi lillahi Ta’ala



Doa Buka Puasa

Umat Islam digalakkan untuk membaca doa buka puasa sebelum berbuka. Ia merupakan antara perkara sunat ketika puasa.

Doa buka puasa ini perlu dibaca setelah masuknya waktu Maghrib iaitu waktu berbuka puasa.

Doanya adalah ringkas sebagaimana berikut:

Allahumma laka sumtu wabika aamantu wa ‘ala rizqika afthartu birahmatika yaa arhamar rahimin



Pengertian Puasa

Dari segi bahasa:

Puasa dari segi bahasa bermaksud “menahan diri”.

Dari segi istilah:

Puasa dari segi istilah bermaksud “menahan diri dari segi makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan syarat-syaratnya yang tertentu”.



Hukum Berpuasa

Hukum berpuasa di bulan Ramadhan adalah wajib bagi orang Islam. Orang yang meninggalkan puasa tanpa mempunyai sebarang keuzuran adalah berdosa besar.



Dalil Berpuasa

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 183 :

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”



Syarat Wajib Puasa

Syarat wajib puasa adalah sebagaimana berikut:



1) Islam

Setiap muslim wajib berpuasa. Puasa tidak diwajibkan kepada orang kafir dan orang yang murtad.



2) Baligh

Puasa tidak diwajibkan kepada kanak-kanak. Tetapi kanak-kanak digalakkan untuk berpuasa.



3) Berakal

Puasa tidak wajib kepada orang yang gila, mabuk dan pengsan sepanjang hari.



4) Mampu berpuasa

Orang sakit yang boleh memudaratkan kesihatan tidak wajib berpuasa. Begitu juga orang yang terlalu uzur atau tua. Contoh sakit adalah seperti gastrik, diabetis dan sebagainya.



5) Suci

Maksud suci adalah orang perempuan yang suci daripada haid dan nifas. Orang perempuan yang mempunyai haid dan nifas adalah haram berpuasa. Tetapi perlu menggantikannya pada bulan-bulan yang lain.



6) Bermukim

Yang dimaksudnya dengan bermukim adalah seseorang yang tidak musafir. Namun orang yang bermusafir wajib menqadakkan puasanya selepas bulan Ramadhan.



Syarat Sah Puasa

Syarat sah puasa adalah sebagaimana berikut:



1) Islam

Tidak sah puasa bagi orang yang bukan Islam (Orang Kafir)



2) Berakal dan Mumayyiz

Orang yang tidak berakal (gila) tidak sah puasanya. Begitu juga dengan anak-anak yang belum mumayyiz.



3) Suci daripada Haid dan Nifas

Seseorang yang berpuasa mestilah suci daripada haid dan nifas



4) Masuknya Bulan Ramadhan

Untuk puasa di bulan ramadhan, tidak sah puasanya jika belum masuk atau selepas habis bulan Ramadhan.



Rukun Puasa

Rukun puasa ada tiga iaitu:



1) Orang yang berpuasa

Seseorang yang berpuasa itu hendaklah seorang muslim, baligh, berakal, mampu serta bersih daripada haid dan nifas



2) Niat

Tidak sah puasa seseorang sekiranya beliau tidak niat puasa.

Contoh niat Puasa di bulan Ramadhan

“Sahaja aku berpuasa esok hari di bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”



3) Tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa

Seseorang yang berpuasa hendaklah menjaga diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.



Perkara-perkara Yang Membatalkan Puasa adalah:

  1.  Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja.
  2.  Makan dan minum dengan sengaja termasuk merokok.
  3.  Muntah dengan sengaja.
  4.  Mabuk atau pengsan sepanjang hari.
  5.  Gila walaupun seketika.
  6.  Bersetubuh atau berjimak pada siang hari bulan Ramadhan.
  7.  Berbuka sebelum waktunya.
  8.  Keluar mani dengan sengaja.
  9.  Keluar haid dan nifas.
  10.  Murtad iaitu keluar daripada Islam.

*Info

  • Puasa yang telah batal wajib digantikan (Qada’).
  • Menelan air liur tidak membatalkan puasa.



Perkara-perkara Yang disunatkan Ketika Berpuasa

Perkara-perkara yang disunatkan ketika berpuasa adalah:

  1.  Bersahur dan melambat-lambatkan sahur
  2.  Mempercepatkan berbuka puasa apabila terbenamnya matahari
  3.  Membaca doa buka puasa
  4.  Mengerjakan solat sunat Tarawih pada malam bulan ramadhan
  5.  Memperbanyakkan sedekah
  6.  Membaca al-Qur’an dan bertadarus
  7.  Beriktikaf di masjid 
  8.  Menahan diri daripada melihat perkara-perkara maksiat dan mungkar


Perkara Yang Makruh Ketika berpuasa

  1.  Bercakap perkara yang melalaikan seperti mengumpat, maki hamun dan sebagainya
  2.  Membuang masa dengan perkara yang sia-sia
  3.  Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk secara berlebih-lebihan. 
  4.  Makruh menggosok gigi (bersiwak) selepas gelincir matahari
  5.  Mencium Isteri atau suami
  6.  Berbekam atau mengambil darah
  7.  Melihat perkara-perkara yang haram seperti gambar lucah dan sebagainya.

Semoga ibadah puasa kita diterima pada tahun ini. Aamiin.


Jom baca juga panduan solat sunat Tarawih ini. Sama ada ingin ditunaikan secara sendirian atau berjemaah.



    Baca juga : Panduan Solat Sunat Tarawih


    Baca juga : Panduan Solat Sunat Witir



Jangan Lupa Follow Home Mohd Daharudin Haji Daud

No comments:

Post a Comment

Home 7 © 2021. All Rights Reserved |

Mohd Daharudin Haji Daud